Selasa, 28 Julai 2009

5 Sebab Mengapa Tidak Boleh Declawing

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, December 08, 2008

Sebelum ini kita telah melihat apa itu declawing. Jika anda berfikir mahu melakukannya, saya mahu memberikan beberapa maklumat untuk membantu anda membuat keputusan.
1. Trend
Pertamanya, anda patut tahu bahawa declawing ini, walaupun didatangkan dengan pelbagai pakej yang penuh dengan istilah kedoktoran, ia adalah trend. Saya melihatnya sebagai trend Amerika, atau American thing, atau American style. Saya bukan bermaksud prejudis, tetapi jika anda melayari internet, anda akan dapat melihat sendiri siapa yang paling banyak melakukannya. Saya katakan trend kerana ia adalah sesuatu yang kita lakukan untuk kesenangan kita tanpa memikirkan apakah sebenarnya yang berlaku pada kucing kesayangan. Di England, declawing dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan dan proses pengkudungan yang tidak wajar. Malah terdapat 23 buah negara mengharamkannya dari diamalkan oleh mana-mana pihak.

2. Mencacatkan kucing
Sebelum anda melakukan declawing, anda perlu jelas bahawa declawing bukan seperti membersihkan kuku, atau memotong kuku, atau mengikir kuku tetapi ia adalah pembedahan yang serius. Kuku kucing anda sebenarnya bukanlah kuku, tetapi tulang, yang bersendi pada hujung jari kakinya. Declawing adalah proses membuang tulang itu, dan ini mencacatkannya, atau kudung. Pada peringkat ini anda sepatutnya memahami mengapa declawing dianggap tidak berperikemanusiaan.

3. Kesakitan
Ia adalah pembedahan yang menyakitkan dengan proses penyembuhan yang sangat menyakitkan. Dan ingatlah bahawa sepanjang tempoh penyembuhan itu kucing anda masih perlu menggunakan kakinya untuk berjalan, melompat dan menguis di dalam litter box walaupun dalam keadaan kesakitan. Jika kita sakit kita dapat berehat di tilam empuk atau duduk di kerusi roda, tetapi kucing tidak dapat buat begitu.Tiada penggemar kucing yang meragui deria kucing adalah sangat tinggi berbanding manusia. Begitu juga dengan kesakitan. Kucing akan merasa sakit, lebih tinggi berbanding manusia. Namun anda tidak dapat melihat kesakitan itu ditonjolkan oleh kucing, kerana mereka menyembunyikannya. Bukan kerana ego, tetapi itu adalah fitrah mereka. Kucing tidak akan menonjolkan bahawa mereka sedang berada dalam keadaan lemah kerana ia meletakkan mereka dalam keadaan bahaya, dan secara fitrahnya mereka akan menyembunyikan kesakitan itu.Ada sebahagian pemelihara kucing yang mendakwa kucing mereka OK dan tiada apa-apa kesakitan sepanjang tempoh penyembuhan. Ini adalah tidak benar sama sekali kerana mereka tidak memahami tabiat dan fitrah kucing itu sendiri.

4. Merampas Hak Kucing
Struktur badan kucing dibina untuk memberikan ketangkasan, kelincahan dan kecantikan yang unik kepada spesies ini. Kukunya adalah penting kerana ia sebahagian daripada binaan ini. Mengkudungkan bahagian penting daripada binaan anatomi ini akan mengubah keselesaaan kaki mereka. Ini juga akan merampas keupayaan mereka untuk mempertahankan diri dan mendedahkan mereka kepada apa sahaja pemangsa atau bahaya dan mereka hanya mampu berlari dan tidak dapat memanjat untuk menyembunyikan diri.

5. Hukumnya Haram
Bagi mereka yang beragama Islam, membuang kuku kucing melalui proses declawing adalah haram. Kerana ini mencacat, menyeksa dan merampas hak kucing. Ia hanya boleh dilakukan jika darurat sahaja, dan kerosakan pada perabot itu tidak dianggap sebagai darurat. Masih banyak cara lain untuk mendidik kucing selain daripada declawing.

thanx to alamkucing!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan